PRK Sungai Limau Lancar Pusat Mengundi Sesak

YAN – Sehingga 10 pagi ini, proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau berjalan lancar dengan pengundi dan penyokong parti-parti bertanding memenuhi kawasan pusat-pusat pengundian.
Laluan berhampiran semua 17 pusat pengundian mengalami kesesakan, suatu yang amat mustahil untuk berlaku di DUN Sungai Limau pada hari-hari biasa.
Keadaan ini disebabkan arahan parti-parti bertanding agar semua penyokong mereka turun mengundi awal pagi ekoran ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa hujan lebat pada sebelah petang nanti.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang ditemui pemberita di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Permatang Buloh, menyifatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 14.43 peratus untuk tempoh 8 hingga 9 pagi adalah sangat baik.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata pihaknya memasang lima kamera litar tertutup (CCTV) di lima kawasan panas untuk tujuan pemantauan serta membolehkan polis bertindak pantas andai berlaku sesuatu yang tidak diingini.
PRK DUN Sungai Limau ini menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan Mohd Azam Abd Samat daripada PAS. — BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar